Interaksi Massa Memberi Kesan Positif
Editor iKDN | 8 Mac 10 1:43am

Usaha untuk menurunkan kadar jenayah jalanan di seluruh negara dilihat mula membuahkan hasilnya apabila setiap negeri panas mula mencatatkan penurunan kejadian jenayah jalanan. Kenyataan itu disahkan oleh Menteri Dalam Negeri Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menyifatkan beberapa langkah awal antara penyumbangnya.

"Tindakan untuk menempatkan lebih ramai anggota polis di jalanan, langkah stop & talk iaitu memperbanyakkan interaksi pegawai dan anggota dengan orang ramai telah memberi impak besar kepada tempoh awal program ini. Dalam hubungan ini saya ingin merujuk kepada kawasan Cheras di Kuala Lumpur iaitu salah satu lokasi yang terletak di kawasan panas sebagai contoh. Saya dapati kadar jenayah jalanan di empat kawasan perumahan di sini telah turun dengan mendadak iaitu antara sekitar 40 peratus hingga lebih 60 peratus," katanya.

Di Taman Midah umpamanya kes yang direkodkan telah berkurangan sehingga 60.7 peratus, Taman Connought (68.5 peratus), Taman Anggerik dan Alam Damai (41 peratus) dan Permaisuri (50 peratus). Analisis ini dibuat berdasarkan kes-kes jenayah jalanan yang dilaporkan berlaku dalam tempoh 205 hari iaitu dari tarikh bermulanya program rintis di kawasan Cheras iaitu pada 5 Ogos 2009 hingga 28 Februari 2010; berbanding tempoh yang sama sebelumnya.

"Pencapaian yang saya rujuk ini hanyalah satu daripada pelbagai perkembangan positif yang telah direkodkan oleh pihak polis. Langkah yang telah dimulakan dengan pelbagai siri perbincangan dan pertemuan ini bagaimanapun perlu disemarakkan lagi dengan penglibatan pemimpin dan anggota masyarakat," katanya.

Beliau menambah berdasarkan maklum balas daripada beberapa taklimat Keselamatan untuk wakil masyarakat di beberapa negeri baru-baru ini, didapati pemimpin dan anggota masyarakat merasakan penghargaan buat mereka apabila dijemput menyertai taklimat tersebut. Masyarakat sebenarnya tidak mempunyai masalah untuk turut serta dalam sebarang inisiatif yang dilaksanakan oleh KDN dan polis bagi mengurangkan lagi kadar jenayah di dalam kejiranan mereka.

"Saya melihat bahawa usaha yang dimulakan oleh polis untuk mendekatkan diri dengan masyarakat perlu disambut oleh masyarakat. Sehubungan itu saya mahu agar saluran-saluran sedia ada seperti Rakan Cop dan Community Policing dikembangkan bagi mengukuhkan peranannya. Langkah ini juga boleh membantu polis untuk mendapat maklumat dengan lebih cepat, sekaligus mendekatkan masyarakat dengan pihak berkuasa," katanya.

--team berita ikdn

 

Hebahan Untuk Media
Kenyataan Media Menteri

Selamat Datang Kepada Pengunjung Kami, iKDN ialah sebuah portal berita. Ia akan dilengkapi dengan elemen audio dan visual (webtv). iKDN berfungsi sebagai pelengkap sumber maklumat untuk rakyat Malaysia khususnya yang berkaitan dengan Kementerian Dalam Negeri.

Di sini para pengunjung boleh mendapat info-info terkini mengenai KDN.

Media dibenarkan untuk memetik sebarang maklumat di dalam portal ini sebagai bahan siaran di media masing-masing dengan syarat dimaklumkan sumber berita itu dipetik dari www.ikdn.org atau www.ikdn.gov.my

Terima kasih

Editorial iKDN
Unit Komunikasi Korporat
Kementerian Dalam Negeri

Tahukah Anda
Di bawah Akta Penagih Dadah 6(1)b ibu bapa boleh secara sukarela menghantar anak-anak mereka yang berhadapan dengan masalah najis dadah ke pusat pemulihan (PUSPEN). Dalam tempoh 20 bulan terakhir ini, 444 kes sukarela dilaporkan. Jumlah itu mewakili 6.33% dari jumlah penghuni di PUSPEN seluruh Negara.
Jumlah Pengunjung:

© 2009, Portal Berita KDN, Kementerian Dalam Negeri, Hakcipta Terpelihara

Kami mengalu-alukan input anda untuk dimuatkan didalam portal berita ini.
Sila Hubungi Kami