Kenyataan Akhbar Menteri Dalam Negeri - Program Pemantapan Petugas Menangani Jenayah
Editor iKDN | 3 Mac 10 2:15pm
Kenyataan Akhbar
YB. Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein
Menteri Dalam Negeri
Program Pemantapan Petugas Menangani Jenayah
Petaling Jaya, 02 Mac 2010
Lawatan kerja ke Kota Damansara pada hari ini merupakan salah satu Program Pemantapan Petugas Menangani Jenayah yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menjayakan agenda mengurangkan kadar jenayah yang digariskan sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)
Program ini disasarkan di 50 kawasan panas (hot spots) yang kerap berlaku kejadian jenayah khususnya di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor. Ia dilaksanakan bagi menunjukkan kesungguhan serta komitmen pihak KDN dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam merealisasikan usaha menurunkan kadar jenayah indeks sehingga 5 peratus sehingga penghujung tahun ini dan menurunkan kadar jenayah jalanan sehingga 20 peratus dalam tempoh masa yang sama, seperti mana digariskan di bawah NKRA.
Buat masa ini, seramai 3,160 ahli Angkatan Relawan Rakyat (Rela) dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang telah tamat latihan sebagai Sukarelawan Simpanan Polis (SSP), telah dilibatkan bersama-sama anggota dan pegawai PDRM dalam program ini. Jumlah ini melibatkan 803 anggota Rela dan JPAM di Kuala Lumpur, 885 di Selangor, 947 di Johor dan 525 di Pulau Pinang. Mereka ditugaskan di kawasan-kawasan panas ini bersama-sama anggota polis bagi memperhebatkan usaha memerangi jenayah. Kumpulan ini telah digerakkan untuk bekerjasama dengan melakukan rondaan bersama-sama keseluruhan 33,623 orang pegawai dan anggota polis dari negeri yang terlibat. Selain itu terdapat seramai 1,100 orang pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM yang turut sama dilibatkan sejak inisiatif mengurangkan jenayah ini diperkenalkan tahun lalu. Jumlah keseluruhan polis, Rela dan JPAM yang terlibat sehingga sekarang di semua 50 kawasan panas ialah seramai 37,883 orang.
Bagi saya, program hari ini penting bagi membolehkan saya mengadakan pemeriksaan di lokasi yang dilihat oleh orang ramai sebagai kurang selamat dan sering dibayangi oleh kes-kes jenayah sekali gus mendapatkan maklumat dan gambaran yang lebih tepat berhubung perkara ini daripada anggota masyarakat berbilang bangsa yang saya temui ketika lawatan ini.
Dalam konteks ini, saya ingin memberi jaminan bahawa pihak KDN serta PDRM akan berusaha menangani isu ini dengan bersungguh-sungguh demi menjamin kesejahteraan rakyat sejajar gagasan 1Malaysia, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’. Malah, kita telah menterjemahkan kesungguhan tersebut dengan penurunan jenayah indeks sebanyak 3.7 peratus pada suku keempat 2009 berbanding suku kedua 2009, serta penurunan jenayah jalanan sebanyak 7.6 peratus dalam tempoh masa yang sama.
Berhubung perkara ini, saya juga ingin memaklumkan bahawa KDN kini berada di landasan terbaik untuk merealisasikan matlamat penurunan jenayah indeks dan jenayah jalanan ini. Seperti yang saya maklumkan pada minggu lalu, pihak KDN telah menubuhkan Bilik Gerakan NKRA yang menjadi pusat operasi penting terhadap usaha pemantauan serta usaha memastikan perancangan berhubung agenda mengurangkan kadar jenayah dapat dilaksanakan secara strategik dan mengikut keperluan semasa.
Bagaimanapun, saya amat berharap agar seluruh anggota masyarakat tanpa mengira bangsa, keturunan dan juga latar belakang agar tampil bersama-sama membantu pihak kerajaan bagi menjayakan usaha ini. Ini kerana, tanggungjawab untuk mencegah jenayah di seluruh negara sekali gus memastikan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan negara terus terpelihara tidak harus diletakkan di atas bahu pihak kerajaan semata-mata, sebaliknya setiap anggota masyarakat perlu memberikan komitmen dan kerjasama padu bagi menjamin keberkesanan usaha dan pendekatan yang diambil. Anggota masyarakat perlu berganding-bahu bersama-sama dengan warga KDN dan PDRM bagi menyelesaikan isu-isu yang menyentuh kepentingan bersama sekali gus menangani kegiatan jenayah yang berlaku di kawasan masing-masing. Misalnya melalui gerakan Rukun Tetangga di kawasan masing-masing.
Menyentuh mengenai Kota Damansara, saya maklum bahawa kawasan ini tidak terkecuali daripada menjadi sasaran kegiatan samun. Sebagai langkah segera bagi menangani masalah ini, saya telah mengarahkan pihak polis untuk meningkatkan aktiviti rondaan, meningkatkan kehadiran polis dan kekerapan pihak polis bertemu dengan anggota masyarakat.
Dalam pada itu, saya juga telah meminta penambahbaikan dibuat dari segi kaedah laporan polis yang dibuat oleh pengadu. Dalam hal ini, saya mahu pihak polis memastikan bahawa akan memberi maklum balas dalam tempoh 2 minggu terhadap setiap laporan yang dibuat oleh pengadu. Jika pengadu tidak menerima maklum balas daripada polis dalam tempoh tersebut, maka mereka boleh berhubung terus dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman. Ini kerana JSJ akan menubuhkan satu Sekretariat bagi memantau perkara ini khususnya dalam penambahbaikan pelaporan polis.
=tamat= |